Apabila ‘geng kayangan’ tak sedar diri

0
560

KECOH dua tiga hari ini dalam media sosial apabila rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan ditempatkan di pusat kuarantin disediakan kerajaan dianggap tidak selesa, tidak memenuhi kriteria dan pelbagai lagi.

Lebih menyakitkan hati apabila menghina pasukan barisan hadapan dengan pelbagai gelaran selain tidak memberi kerjasama melakukan pemeriksaan kesihatan.

Penulis boleh menganggap ‘puak-puak’ ini seperti golongan tidak tahu bersyukur. Laungan ‘kami juga pembayar cukai kepada kerajaan’ seolah-olah mereka seorang sahaja yang bayar cukai. 

Bagaimana pula dengan golongan B40 dan M40 yang majoritinya membayar cukai kepada kerajaan tidak merungut dalam saat negara menghadapi situasi getir mencegah wabak Covid-19 ketika ini.

Sahabat penulis berkongsi seorang pemilik akaun Facebook yang mempertikai pusat kuaranting yang dianggap tidak selesa bagi mereka ditempatkan di situ. 

Sampaikan kisahnya itu mendapat perhatian beberapa portal berita sehingga berita yang dikongsinya memakan diri.

Bukan simpati yang diminta tetapi kecaman yang dapat. Warga maya yang memahami situasi negara mengecam tindakan individu itu yang tidak tahu bersyukur apabila kerajaan menyediakan pusat kuarantin secara percuma.

Kalau mereka berada di luar negara, jangan harap mendapat pusat kuarantin percuma sebaliknya perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk dikuarantin selama 14 hari!

Kepada ‘geng-geng kayangan’ ini, anda adalah potensi mewujudkan kluster baharu Covid-19. Maka sila ikut arahan kerajaan dan bersyukurlah mempunyai tempat disediakan. Kalau balik ke rumah sendiri sudah tentu tidak boleh dikuarantin selama 14 hari di rumah. 

Kepada pasukan barisan hadapan, walaupun anda dikecam mereka tetapi beratus ribu rakyat Malaysia menyokong dan memberi semangat kepada anda.

Rakyat Malaysia sentiasa bersama anda dan ‘geng-geng kayangan’ ini diminta muhasabah diri. Belajar bagaimana susah sikit jika tidak mahu ‘susah banyak’ dikemudian hari. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here