Arab Saudi belum ada kata putus tangguh ibadah haji

0
129

CYBERJAYA – Tiada kenyataan rasmi dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung penangguhan ibadah haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu diputuskan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan, semalam.

Beliau berkata, pertemuan itu diadakan berikutan pelaksanaan ibadah haji adalah antara perkara paling penting dalam merealisasikan rukun Islam.

Tambah beliau, wabak Covid-19 melanda dunia ketika ini turut memberi kesan kepada Arab Saudi yang menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya termasuk Mekah dan Madinah.

“Berdasarkan penjelasan Duta Arab Saudi ke Malaysia belum ada sebarang kenyataaan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan penangguhan ibadah haji tahun ini.

“Saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut hadir dalam pertemuan itu ialah Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’an; Pengurus Besar Kanan Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Ruslan Said.

Zulkilfli turut mengajak berdoa semoga Allah menghilangkan wabak itu dan memelihara dua Kota Suci umat Islam daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

“Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya,” katanya. – MT 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here