Arab Saudi taja pesawat bawa pulang rakyat Malaysia

0
1870

CYBERJAYA – sebanyak 80 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi akan tiba di tanah air pada pukul 12.30 tengah malam ini.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kesemua mereka akan tiba dengan menaiki pesawat khas yang ditaja oleh Arab Saudi.

“Berita gembira ini turut disampaikan sendiri oleh Duta Arab Saudi ke Malaysia dalam video di Twitter saya.

“Beliau akui bantuan ini dihulurkan kerana keakraban hubungan Malaysia-Saudi serta kerjasama erat kedua-dua negara dalam memerangi Covid-19,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Arab Saudi yang juga penjaga dua masjid suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas perkenan membantu Malaysia di saat getir ini.

“Terima kasih juga kepada Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al Saud yang amat prihatin demi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi dijaga dengan baik.

“Saya juga secara peribadi turut berterima kasih kepada Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud kerana sewaktu video conferencing kami pada tiga minggu lalu, beliau telah menyuarakan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama-sama Malaysia sepanjang krisis ini,” ujarnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here