‘Ayah saya seorang yang hebat’

0
203

CYBERJAYA – Wabak Covid-19 menjadi satu ‘tragedi’ buat masyarakat di seluruh dunia kerana hampir kesemua sektor ekonomi lumpuh demi memutuskan rantaian virus itu daripada terus menular.

Tindakan beberapa negara diseluruh dunia melaksanakan perintah berkurung atau duduk di rumah membuatkan rakyat akur kerana bimbang dijangkiti wabah tersebut.

Hanya barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan pasukan keselamatan memainkan peranan paling penting dalam memastikan tidak banyak nyawa terkorban akibat wabak berkenaan.

Namun mungkin kita lupa petugas barisan hadapan lain turut sama berjuang demi memastikan persekitaran lebih bersih dan indah.

Seorang pengguna Facebook menulis kisah bapanya yang turut sama terlibat mengekang wabak itu tetapi bukan sebagai doktor atau jururawat sebaliknya pekerja pembersihan.

Pemilik akaun Facebook, Syazwan Majid yang menetap di Singapura berbangga apabila bapanya turut memainkan peranan berjuang mengekang penularan wabak itu. 

Menurutnya, walaupun tidak tahu membaca dan menulis, dia berbangga kerana tugas bapanya sangat murni dalam menjaga kebersihan jalan raya dan taman sepanjang empat dekad bekerja dalam bidang itu.

Namun katanya, apa yang membimbangkan, bapanya merupakan warga emas dan terdedah kepada risiko wabak Covid-19 itu.

“Pekerjaan bapa saya sama seperti perkhidmatan penting lain seperti penghantar makanan, pengendali pengangkutan awam dan kakitangan pasar raya yang berperanan penting dalam memastikan negara terus bergerak disaat mencabar ini,” katanya.

Kisah yang dimuat oleh Syazwan itu mendapat lebih 25,000 tanda suka dan rata-rata warga maya memuji catatan itu.

Singapura kini sedang melaksanakan arahan ‘Pemutus Litar’ dalam mengekang penularan wabak Covid-19 yang telah menjangkiti lebih 12,000 penduduknya.   

Syazwan menambah, dia mengambil gambar secara diam-diam bapanya yang bersiap lebih awal untuk keluar bekerja semasa dia hendak bersahur.

“Saya terharu melihat betapa luar biasanya seorang lelaki bernama ayah dan saya berbangga menjadi anaknya,” katanya.

Katanya, dia berdoa kepada Allah melindungi, memberkati kesihatan serta memperoleh kebahagian di dunia dan syurga tertinggi buat bapanya.

Dalam pada itu dia meminta warga republik itu mengikut arahan kerajaan Singapura supaya duduk di rumah dalam melaksanakan ‘Pemutus Litar’ bagi mengekang penularan Covid-19. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here