Bantuan mereka melegakan insan memerlukan

0
274

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini membuka minda kita bahawa membendung wabak Covid-19 ini bukan sesuatu yang mudah.

Habis sahaja fasa pertama maka diteruskan fasa kedua dan Rabu ini memasuki fasa ketiga dalam usaha mengekang penularan wabak itu daripada terus merebak.

Kesannya sudah tentu golongan peniaga tidak kira yang berniaga di tepi jalan sehingga ke syarikat besar.

Namun, pelaksanaan itu membuka mata ramai pihak. Kebanyakan golongan B40 terkesan dengan langkah arahan itu. Pekerja harian, peniaga kecil, pekerja bergaji bawah RM2,000, petani, penoreh getah, nelayan merupakan antara mereka yang terkesan.

Golongan-golongan itu tidak diabaikan. Sejak hari pertama PKP dilaksanakan, kerajaan telah menggerakkan seluruh jentera mereka dalam membantu golongan itu. Malah Bantuan Prihatin Nasional turut diumumkan bagi meringankan beban mereka.

Bagaimanapun sejauhmana golongan sasar ini dapat dibantu kerana bantuan oleh kerajaan berdasarkan data yang berada dalam sistem mereka. Bagaimana pula yang tidak mempunyai nama dalam senarai tersebut?

Di sinilah peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tampil membantu. Dan paling menyentuh hati pengurusan masjid juga memainkan peranan mereka membantu kariah dan penduduk sekitarnya.

Penulis berpeluang turut serta dalam program sukarelawan melalui Zero Hunger Malakat Mall bagi membantu golongan itu.

Sebelum ini kebanyakan dibantu di sekitar Lembah Klang dan Selangor namun kali ini ke Kuala Lipis, Pahang.

Kuala Lipis kebanyakan penduduknya bekerja kampung. Ada penoreh getah dan kerja-kerja lain bagi menampung kehidupan. Sejak PKP dilaksanakan, punca rezeki mereka terhenti sekali gus belanja harian mereka juga terbantut.

Dengan senarai yang diterima, 41 sukarelawan Brainy Ranger Emegency Team (BERT) bersama kenderaan pacuan empat roda datang untuk menyumbangkan bantuan bekalan asas. 

Konvoi itu turut disertai anggota Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung.

Kumpulan sukarelawan ini sentiasa bersedia jika khidmat mereka diperlukan. Mereka merasai keperitan dialami golongan itu walaupun wabak Covid-19 boleh dijangkiti tanpa mengenal mangsa.

Demi memastikan insan-insan itu tidak kelaparan, mereka mengharunginya. Namun apa yang jelas selepas sumbangan dihulurkan, kepuasan jelas terpancar di wajah mereka.

Walaupun tidak besar bakti disumbangkan namun kudrat yang dihulurkan sudah cukup untuk membantu mereka yang lebih memerlukan.

Inilah barisan hadapan yang sentiasa bersiap sedia untuk membantu. Tidak mengenal penat dan lelah janji bantuan itu dapat diterima oleh insan yang kelaparan.

Kepada sukarelawan, walaupun anda tidak begitu dikenali tetapi andalah wira tidak didendang. Jasa anda walaupun nampak kecil tapi besar maknanya bagi golongan penerima.

Orang ramai yang ingin terus menyumbang boleh berbuat demikian melalui www.sadaqahmarket.com .- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here