Bantuan one-off kepada penuntut IPT dipercepat, diperluas

0
108
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul

CYBERJAYA – Kerajaan akan mempercepatkan bayaran bantuan secara one-off kepada setiap penuntut sepenuh masa institusi pendidikan tinggi (IPT) kepada hujung bulan ini berbanding pada bulan hadapan.

Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, pada masa sama kerajaan juga memutuskan untuk memperluaskan pemberian itu kepada pelajar matrikulasi, kolej komuniti, politeknik dan IPT awam serta swasta di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Kementerian Kewangan dengan sukacitanya memaklumkan bahawa bantuan tersebut diperluaskan kepada pelajar tingkatan enam, diploma dan yang setara termasuk di institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta Mara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dengan perluasan tersebut, peruntukan yang disediakan telah dinaikan daripada RM270 juta kepada RM300 juta untuk memanfaatkan lebih kurang 1.5 juta pelajar.

Beliau berkata, pihaknya menganggarkan pelajar yang layak menerima bantuan tersebut di bawah KPT ialah sebanyak 1.2 juta orang, Kementerian Pendidikan (0.1 juta orang) dan pelbagai institusi lain (0.2 juta orang).

“Kerajaan berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar IPT dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Moga mereka terus sabar dan gigih dalam perjalanan menuntut ilmu dan menimba kemahiran,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here