Bayi maut, ibu bersalin tidak diterima hospital kerana muslim

0
179
Pihak berkuasa India memberi jaminan kes tersebut akan disiasat bagi memastikan tiada pihak teraniaya.

NEW DELHI: Sebuah hospital di Rajasthan, India berdepan siasatan kerajaan dan kritikan antarabangsa selepas didakwa enggan menerima seorang wanita Muslim yang mahu melahirkan anak.

Menurut laporan India Today, wanita berkenaan dikatakan tidak diterima di hospital berkenaan dan ditolak ke hospital lain namun telah bersalin dalam perjalanannya.

Lebih malang lagi apabila bayi yang dilahirkan itu meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Suami wanita terbabit, Irfan Khan berkata, pengurusan hospital perlu bertanggungjawab terhadap kematian anaknya.

“Isteri saya perlu bersalin. Dia dirujuk dari Sikri ke Hospital Janana. Tapi doktor arah kami ke Jaipur hanya kerana kami beragama Islam.

“Ketika di dalam ambulans, isteri melahirkan bayi namun anak kami meninggal dunia,” katanya.

Pengarah Hospital Janana, Dr. Rupendra Jha berkata, wanita itu tidak dapat dirawat di hospital berkenaan kerana keadaannya kritikal.

Bagaimanapun, pihak berkuasa dilaporkan sedang melakukan siasatan terhadap dakwaan itu.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan Rajasthan, Vishvendra Singh mengecam insiden berkenaan.

Menerusi Twitter, beliau berkata, keadaan itu amat memalukan dan tindakan perlu diambil terhadap terhadap doktor terbabit.

“Seorang wanita mengandung enggan diterima di hospital dan diminta ke Jaipur disebabkan agamanya.

“Tiada yang lebih memalukan kerana kerajaan sangat sensitif dengan perkara sedemikian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here