Bazar Ramadan pandu lalu tidak sesuai – Sultan Ibrahim

0
214

CYBERJAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menegaskan bazar Ramadan secara pandu lalu adalah tidak sesuai dilaksanakan di Johor susulan penularan wabak Covid-19.

Baginda bertitah, ketika ini pasukan barisan hadapan sedang bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi membasmi sepenuhnya wabak itu.

“Saya bimbang jika dilaksanakan bazar Ramadan secara pandu lalu, akan timbul isu kesesakan jalan raya pula hingga membebankan lagi tugas pasukan penguat kuasa.

“Malah, amat sukar untuk menjamin tiada kemungkinan berlaku risiko kontak rapat dan jika timbul kluster baharu, bagaimana kita hendak mengawal virus ini,” titah Sultan Ibrahim dalam akaun rasmi Facebook baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Johor bertitah demikian kepada Royal Press Ofice (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, Johor hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Baginda bertitah dengan menggesa rakyat Johor supaya terus sabar dan tabah menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.

“Sabar itu separuh daripada iman. Tolonglah bersabar dan jangan ingkar perintah pergerakan. Pastikan anda hanya keluar jika ada sebab yang benar-benar memerlukan.

“Saya sendiri juga berkurung dan tidak ke mana-mana, jadi saya memahami rasa tidak senang kerana tidak dapat melakukan rutin harian seperti biasa,” titah baginda. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here