Bekalan makanan di PKPD Pusat Bandar Utara tidak guna ‘duit rakyat’

0
100
Kawasan PKPD Pusat Bandar Utara di Selayang yang merupakan kawasan komuniti pelarian Rohingya.

CYBERJAYA – Kerajaan tidak akan menggunakan wang ‘pembayar cukai’ untuk menyediakan bekalan makanan kepada 22,000 penduduk termasuk 16,000 pelarian Rohingya di Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur yang mendiami kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPKD).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, satu tabung khusus digerakkan bagi mengumpul dana membeli makanan asas kepada warga Asing di kawasan PKPD.

Katanya, sumbangan terkumpul kini sudah mencecah lebih RM1 juta dan orang ramai dialu-alukan menyumbang menerusi Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMC) di Jalan Tun Razak.

“Mana-mana pihak yang mahu menyalurkan sebarang bentuk sumbangan bekalan makanan kepada rakyat tempatan di kawasan PKPD akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Annuar berkata demikian ketika wawancara eksklusif Bernama Radio bertajuk ‘Pengurusan Covid-19 dan PKP Wilayah Persekutuan’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil daripada bancian terbaharu, pihaknya mendapati hanya terdapat kira-kira 6,000 rakyat tempatan di kawasan Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur manakala 16,000 lagi adalah warga asing termasuk pelarian Rohingya yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Ketika bancian awal hanya ada lebih 10,000 warga asing namun setelah dibanci secara terperinci mendapati angka naik sehingga 16,000 (warga asing).

“Semua penduduk di PKPD, termasuk warga asing akan dibekalkan dengan makanan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here