‘Bantuan diberi tidak kira agama, bangsa’

0
310

CYBERJAYA – Setiap hari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian menerima pelbagai mesej daripada orang ramai yang memohon bantuan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Keadaan itu bertambah sukar terutama bagi golongan B40 dan mereka yang bekerja bergaji harian kerana tiada pekerjaan boleh dilakukan kerana akur dengan arahan PKP bagi membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun kesan arahan itu tidak hanya khusus kepada sesuatu kaum tetapi melibatkan semua pihak tidak kira agama dan bangsa.

Menerusi perkongsian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung dalam akaun Facebook miliknya, beliau tersentuh hati apabila ada bukan Muslim memohon bantuan daripadanya.

Beliau berkata, ketika menurunkan 300 pek bekalan asas kepada masyarakat Rohingya yang terputus bekalan, seorang wanita berbangsa India melihat pasukannya melakukan kerja tersebut.

“Makcik itu melihat kami seolah-olah ada sesuatu yang dizahirkan tetapi tidak kesampaian.

“Lalu saya meminta sahabat saya, Ustaz Ahmad Iqram bertanya khabar bagaimana keadaannya dan keluarga sepanjang PKP ini. Makcik ini memberitahu bekalannya hampir habis,” katanya.

Mendengar keluhan itu, Firdaus berkata, pihaknya memberikan satu pek bekalan asas untuk wanita itu.

Beliau berkata, bantuan yang dihulurkan pihaknya tidak tertumpu sesuatu kaum sahaja tetapi kepada semua yang memerlukan akibat terkesan dengan PKP ini.

Firdaus juga menyeru kepada orang ramai untuk terus melakukan kebaikan tanpa mengira siapa pun mereka yang memerlukan bantuan.

Sehubungan itu orang ramai yang ingin menyumbang dalam bentuk wang ringgit boleh berbuat demikian ke akaun Maybank 564810520353 Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa Kuala Lumpur dan Selangor. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here