Bekas pesakit Covid-19 bantu kerajaan

0
217


CYBERJAYA – Melalui pengalaman bagaimana dijangkiti Covid-19, seorang bekas pesakit tampil menghulurkan sumbangan untuk membantu kerajaan dalam membendung wabak itu di negara ini.

Beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad (UDA), Rosli Dahlan yang disahkan sembuh oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selepas menerima rawatan di hospital.

Perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam akaun rasmi Facebook beliau sebentar tadi turut berasa bangga apabila bekas pesakit Covid-19 itu kini mengambil peranan membantu mangsa wabak tersebut.

Menurut Perdana Menteri, Rosli yang juga pemegang amanah Yayasan NAMA telah menemui beliau untuk menyampaikan sendiri sumbangan berjumlah RM150,000 daripada pihak yayasan.

Beliau berkata, awal Mac lalu, UDA menjadi antara syarikat milik kerajaan paling teruk menerima kesan apabila beberapa ahli pengurusan tertinggi mereka diuji positif Covid-19.

“Mereka dikuarantin di hospital dengan majoritinya ditempatkan di Hospital Sungai Buloh iaitu hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit.

“UDA telah bermurah hati menyumbang untuk menaik taraf beberapa wad kuarantin di beberapa hospital bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes pada pertengahan bulan ini,” katanya dalam hantaran tersebut.

Muhyiddin menambah, beliau difahamkan ada dalam kalangan bekas pesakit kakitangan UDA yang terlibat membantu projek vaksin serum darah dan sekiranya projek itu berjaya, mereka akan menjadi penyelamat.

“Jika seluruh dunia boleh bersatu melawan Covid-19, maka saya berharap rakyat Malaysia juga mampu melakukannya,” ujar beliau. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here