Belum ada kata putus mengenai bazar Ramadan – Ismail Sabri

0
49

CYBERJAYA – Kerajaan masih belum memutuskan sama ada meneruskan bazar Ramadan seperti diadakan pada setiap tahun di ibu negara atau menangguhkannya tahun ini ekoran penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini pandangan yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau Kementerian Wilayah Persekutuan masih pada peringkat cadangan serta belum ada perbincangan rasmi lagi. 

“Untuk bazar Ramadan, tiada perbincangan formal tentang perkara ini, malah mesyuarat khas menteri pun belum bincangkannya kerana masih awal lagi.

“Bagaimanapun, terima kasih kepada DBKL yang mengemukakan cadangan ini dan kita akan lihat secara terperinci mengenai baik atau buruk perkara ini dalam mesyuarat yang akan diadakan,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Kelmarin, DBKL sedang ‘memikirkan’ kaedah baharu yang sesuai menggantikan bazar Ramadan yang biasa diadakan sebelum ini ketika penularan Covid-19 dan kaedah baharu itu, yang belum diputuskan akan dibuat selari dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, selain itu, pandangan daripada pihak Kementerian Kesihatan juga akan diambil kira sebelum membenarkan bazar Ramadan dianjurkan.

Mengulas mengenai perkembangan berkaitan, beliau berkata, sekiranya mana-mana individu atau kumpulan mempunyai sebarang aduan berhubung kaedah pengendalian Covid-19, mereka boleh menghubungi jawatankuasa bencana di daerah masing-masing.

“Kadang-kadang ada idnvidiu yang buat aduan secara selfie (swafoto), video dan sebagainya, jadi saya mengucapkan terima kasih pada perhatian mereka tapi kita ada pusat aduan dan perkara ini boleh dilanjutkan kepada jawatankuasa berkenaan kalau ia berlaku di daerah mereka atau mereka juga boleh mengadu terus pada kementerian berkenaan menerusi talian hotline,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dibenarkan untuk mengagihkan barangan keperluan kepada golongan B40 perlu berhubung dengan jawatankuasa terbabit, katanya, mereka juga boleh berbuat demikian.

“Dalam jawatankuasa berkenaan juga terdapat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai ahli.
Semalam JKM keluarkan peraturan, salah satu syaratnya saya dimaklumkan perlu berdaftar dengan JKM, kedua barang dihantar mesti jelas pada siapa dan perlu senarai terperinci.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua NGO yang sangat prhatin pada permasalahan yang timbul, namun begitu, kerajaan akan terus menjaga kepentingan rakyat seluruh negara,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here