Beras 5kg dijual RM50 – pekerja asing

0
200

CYBERJAYA – Wang simpanan semakin susut. Bekalan makanan pula terpaksa dicatu supaya tiada yang kelaparan namun, sampai bilakah mampu bertahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika ini.

Itu yang dilalui oleh pekerja asing yang bekerja sebagai buruh binaan, tukang cuci dan penjaga permis perniagaan.

Apabila PKP dilaksanakan dalam usaha kerajaan mengekang wabak Covid-19 di negara ini, bukan sahaja golongan B40 yang terjejas tetapi pekerja asing turut menerima tempiasnya.

Keadaan itu berlaku di sebuah penempatan di Kuang Rawang, Selangor kira-kira 50 pekerja asing keputusan bekalan makanan setelah majikan mereka menghentikan operasi selari dengan arahan PKP.

Nasib mereka mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Anak Kami yang tampil membantu menghulurkan sumbangan.

Menurut Pengerusi Persatuan Anak Kami, Suraya Ali, dia bersama suami yang mahu dikenali sebagai Shahrin mengambil pendekatan berbeza apabila membantu golongan itu dengan menghulurkan bekalan makanan serta wang bagi meringankan beban mereka.

Katanya, dana sumbangan diterima daripada pelbagai pihak yang membolehkan bekalan makanan disampaikan kepada golongan itu.

“Berdasarkan perbualan dengan pekerja-pekerja asing itu, mereka mendakwa ada segelintir peniaga menjual barangan dengan harga tidak munasabah.

“Sebagai contoh, peniaga terbabit menjual beras lima kilogram (kg) pada harga RM50 semasa pelaksanaan PKP ini,” katanya kepada Malakat Tribune.

Menurut Suraya, pekerja terbabit tidak dibenarkan keluar kerana mematuhi arahan PKP tetapi tindakan segelintir peniaga menaikkan harga sesuka hati amat dikesali.

Katanya, dia mendapat kebenaran daripada majikan syarikat pembinaan terbabit untuk memasuki kawasan rumah kongsi bagi menyampaikan sumbangan itu.

Tambahnya, selain di Rawang, pihaknya turut menyampaikan bantuan kepada pekerja asing di Klang baru-baru ini.

“Harap sumbangan itu dapat meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan dan bersabar sepanjang pelaksanaan PKP,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here