Berniaga sebagai satu Jihad

0
196

Susunan NORDEN MOHAMED 

Intisari siaran langsung Facebook Coach Fadzil
Ngopi Bersama Coach Fadzil

Tetamu: Coach Mohd. Fadzil Hashim
Penemubual: Tenaga Pengajar ESQ 165, Pak Andi Muhamad Fajar dan Pengarah ESQ 165 Malaysia, Pak Razib Abu Bakar.

PAK RAZIB: Saya masih ingat ketika pelancaran Malakat Mall pada hari Jumaat dan pada hari isnin dimulakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kalau yang lakukan bukannya Coach, biasanya dia akan surrender bila terjadinya PKP. Sebaliknya, Raudhah Grocer lebih maju dengan penghantaran melalui pesanan online sehinggakan tidak menang tangan dengan permintaan. Apa yang terjadi?

COACH FADZIL: Alhamdulilah. Ini bukannya sebab kehebatan saya. Sebaliknya perjuangan yang didirikan ini mendapat tempat di hati para pejuang kita. Mereka sebenarnya menanti saat ini.

Sambutan Luar Biasa Terhadap Malakat Mall

Tahun 2020 adalah tahun kebangkitan Islam. Secara ekonominya, orang kita menunggu puluhan tahun satu formula yang akan meningkatkan ekonomi orang Melayu secara tuntas. Sebab itulah pembukaan Malakat Mall mendapat sambutan hangat.

Pada empat hari pertama pembukaan, kami menerima 24,000 pengunjung. Untuk sebuah mall yang kecil, jumlah ini amat besar sampai kita jadi tunggang-langgang. Kita buka kedai yang besar sedikit dari kedai runcit. Tapi orang ingat kita buka pasar raya besar. Pelanggan datang bertali arus.

Kebanyakan produk industri kecil dan sederhana (IKS) tiada bar kod. Jadi prosesnya lambat. Ada seorang makcik beratur dua jam di tempat bayaran. Saya pergi jumpa dia memohon maaf. Dia menjawab, “Tak mengapa sebab dia datang kerana hendak menyokong perjuangan.” Saya sebak dengan jawapan itu.

Masuk hari ketiga, alhamdulilah. Kita menjangkakan pelanggan akan berkurangan pada hari keempat pula iaitu Isnin. Rupa-rupanya pelanggan masih datang bertali arus. Jualannya naik empat kali ganda. Sebaik sahaja dilancarkan PKP kita masih meneruskan bisnes seperti biasa.

Berniaga dengan Allah 

Ramai juga yang tanya berapa banyakkah dana reserve tunai yang kami ada? Bagi mereka yang berniaga dalam sistem ekonomi kapitalis, mereka berpegang kepada angka.

Tetapi kita berniaga dengan Allah. Kerana itu sekiranya ada simpanan enam bulan ataupun setahun sekali pun, jika Allah tidak turunkan rezeki, reserve itu habis juga. Bagaimana pun jika dana yang ada hanya untuk satu bulan, tetapi kita yakin dengan Allah, Allah akan gantikan dengan lebih baik kerana Allah memberikan keberkatan itu.

Buat apa takut? Kita hanya ada dua pilihan sama ada kita mati atau hidup dengan kejayaan. Kita kena ada keyakinan yang sebegitu, kerana Islam datang dalam keadaan lemah. Pada waktu itu, para sahabat tertindas tanpa apa-apa.

Mereka berhijrah pula sehelai sepinggang, bukan dalam keadaan kaya raya. Itulah situasi yang membina mereka. Islam turun ke dalam masyarakat yang kecil, bukannya di Rom yang kaya raya.

Kita Lemah Kerana Berpecah

Inilah yang berlaku sekarang iaitu dalam keadaan kita yang lemah. Puncanya sebab kita berpecah. Kita lemah kerana buat tribe masing-masing dan tidak hendak bersatu. Orang dahulu membuat kabilah tetapi ada pendekarnya. Mereka berperang, tetapi kita tidak.

Kita bina tribe tetapi berlawan seorang diri. Kalau mati, hanya ucapan innalilah diberikan. Sepatutnya, kawan kita adalah saudara kita yang wajib dibantu. Kalau dia jatuh, kita tarik tangan dia. Inilah yang disarankan oleh Rasulullah SAW, “Tidak beriman salah seorang dari kalian sampai mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.” (Bukhari & Muslim).

Buktikan Cinta Dengan Tindakan

Cinta ini bukan atas kata-kata sahaja. Sebaliknya atas tindakan. Contohnya bila kita tengok kawan kita buat posting perniagaan, kita share dengan kawan-kawan lain. Doakan agar Allah beri keberkatan semoga dia berjaya.

Yang terjadi ialah kita tidak share promosi kawan semata-mata kerana tidak dibayar apa-apa. Memang dia tak bayar, sebab yang membayarnya hanyalah Allah yang memberi rezeki. Kita bekerja ini pun sebagai asbab supaya tak malu berdoa sebab sedang berusaha.

Jika pun tiada berusaha, Allah akan memberi juga. Cuma kalau hari-hari kita berdoa tanpa berusaha, kita sendiri akan berasa malu. Ramai yang berdoa tetapi sebenarnya tidak berdoa pun sebab kita malu hendak meminta. Agaknya, sebab itulah kita meminta dengan manusia.

PAK RAZIB: Dari mana Coach mendapat semua energi ini?

COACH FADZIL: Formulanya ialah pembinaan hati. Niat kita jelas iaitu perjuangan kita sebagai hamba atau sebagai khalifah. Ramai di antara kita berasakan yang kita ini hamba yang baik dan tidak ambil peranan sebagai khalifah.

Di Antara Hamba Dan Khalifah

Sebab itu bila kita berbuat apa-apa pun, kita tidak bertindak sebagai khalifah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu.” (Hadis Bukhari & Muslim)

Kita akan ditanya Allah mengenai siapa yang kita pimpin. Cuma yang kita hendak jawab ialah kita bawa apa? Lebih ramai staf yang saya ada, saya berasa lebih besar tanggungjawab yang saya bawa. Tetapi bukan itu motivasi saya.

Motivasi saya ialah menggunakan segala apa yang Allah bagi. Saya dilahirkan dalam keluarga yang amat sederhana. Saya dibesarkan oleh keluarga angkat yang tidak ada apa-apa. Mereka bukan berada. Tetapi Allah beri terlalu banyak keberkatan.

Tiada Apa-Apa Tapi Masih Memberi

Ibu bapa angkat saya adalah orang susah. Ayah Lans Koperal. Ibu pula suri rumah yang mengasuh anak orang. Walaupun mereka susah, mereka sanggup mengambil tiga orang anak angkat. Mereka memberi kasih sayang melebihi anak sendiri. Saya yang paling bongsu.

Mereka tiada apa-apa tetapi mereka memberi segala-galanya. Saya tak boleh lawan kebolehan mereka meskipun saya menjadi multi-millionaire kerana mereka boleh memberi dalam keadaan tiada apa-apa. Memang mereka di peringkat maqam yang luar biasa. Semoga Allah tempatkan mereka dalam kalangan orang soleh.

Walaupun dilihat hanya membesarkan anak-anak, tetapi jika dilihat apa yang jadi pada saya pada hari ini, maka wajib bagi saya menggunakan kekuatan yang saya ada untuk membantu orang lain. Ini pun semua Allah yang bagi sebagai amanah.

Berniaga Sebagai Satu Jihad 

Insya-Allah, saya akan bagi peluang pada orang lain dan perjuangkan apa yang Nabi telah tetapkan kepada kita dengan membawa panji-panji Allah dan membawa pesanan dan formula untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Mungkin atas niat dan realiti kerana orang Islam telah ditetapkan matlamat mereka. Semuanya telah diberikan destinasi akhir iaitu masuk syurga. Mungkin lokasi kita semua tidak sama di negara masing-masing, tetapi matlamat kita adalah sama.

Kalau semua dah sama, dah install operating system ditambah dengan kandungan Coach Fadzil dan lain-lain guru, tidak bolehlah hanya untuk diri sendiri atau kumpulan yang kecil sahaja. Sepatutnya ia adalah untuk kumpulan yang besar. Bila kita jadi pejuang agama, kalau kita mati kita hendak bersama-sama Rasulullah sebagai seorang syuhada.

Perang Sekarang Tak Guna Pedang 

Jika di zaman dahulu, seseorang pejuang itu berjuang dengan pedang dan kekuatan. Perang kita sekarang ialah peperangan ekonomi. Perang ini bukan naik kuda, tetapi naik Facebook atau naik Instagram.

Ini masih di peringkat awal. Bila dah ada ekosistem, media sosial itu sudah tidak diperlukan bila kita ada platform sendiri. Mungkin kerana punyai matlamat yang jelas, target kita untuk memberi impak kepada sejuta keluarga yang bersama-sama mempunyai satu fikrah untuk kejayaan di dunia dan akhirat.

PAK ANDI: Terlalu banyak ilmu, mutiara-mutiara yang dapat dalam sesi mengopi. Coach Fadzil adalah seorang yang punyai grandeur (impresif) yang sangat kuat. Beliau adalah seorang yang action-oriented. Selepas ini sama-sama kita teroka potensi kerjasama sehingga apa yang jadi impian dan wawasan bisa kita wujudkan demi jihad kita.

Sangat-sangat tersentuh bila Coach Fadzil sampaikan iaitu kita mesti seimbangkan peranan kita sebagai seorang hamba dan seorang khalifah. Perjuangan kita bukan dengan mengangkat senjata tetapi produk kita,, perniagaan kita dan ilmu kita itulah yang kita jadikan sebagai senjata untuk merai kemenangan mengangkat panji-panji Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here