Bos Mydin digesa mohon maaf

0
756
Datuk Ameer Ali Mydin

CYBERJAYA – Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin digesa membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung cadangannya supaya gaji penjawat awam dipotong berikutan penularan wabak Covid-19.

Naib Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Noor Izzat Johari berkata, tindakan itu bukan sahaja menyebabkan penjawat awam berkecil hati malah cadangan supaya gaji penjawat awam RM3,000 sebulan dipotong sebenarnya tidak rasional.

Katanya, ini kerana mereka yang berpendapatan RM3,000 sekarang berada dalam kelompok golongan B40 dan M40 yang mana layak menerima bantuan kerajaan.

“Saya cadangkan supaya Datuk Ameer segera membuat permohonan maaf dan fokus dalam rantaian ekosistem ekonomi Muslim bersama kempen BMF Malaysia.

“Kurangkan campur tangan yang melibatkan kakitangan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bos Mydin itu sebelum ini mencadangkan gaji penjawat awam peringkat tertinggi di negara ini dipotong berikutan krisis Covid-19.

Cadangan yang dimuat naik di Facebook miliknya mendapat perhatian pengguna media sosial, malah terdapat satu gerakan yang mahu memboikot Pasar Raya Mydin.

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu izzat turut mencadangkan supaya pihak Mydin mengurangkan harga produk mereka dalam usaha membantu melancarkan ekonomi Islam.

Katanya, tindakan berkenaan bukan sahaja dapat membantu jutaan penjawat awam malah menaikkan nama Mydin dalam kalangan mereka.

“Saya juga mewakili seluruh umat Islam ingin mencadangkan kepada Datuk Ameer agar membuat satu cadangan untuk menurunkan 30 peratus harga barangan sedia ada supaya melancarkan lagi rantaian ekonomi Islam.

“Dalam 1.6 juta kakitangan kerajaan, terdapat 1.2 juta kakitangan adalah dikalangan umat Islam. Jika cadangan ini dilaksanakan, sudah pasti 1.2 juta kakitangan umat Islam akan terus menyatakan sokongan membeli di Pasar Raya Mydin yang merupakan rangkaian pasar raya muslim terbesar di Malaysia, walaupun barangan Muslim masih kurang di Mydin,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here