BPN untuk rakyat tempatan, warganegara asing tidak layak

0
374

CYBERJAYA – Bantuan Prihatin Nasional (BPN) hanya untuk rakyat tempatan dan bukan warganegara asing tidak layak menerimanya.

Penegasan itu dibuat oleh Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan yang dimuat naik melalui hantaran akaun rasmi Facebook kementerian itu sebentar tadi.

Menurut kenyataan itu, kementerian memandang berat dakwaan tersebut seperti tular dalam media sosial berikutan permohonan yang dibuat menggunakan dokumen palsu.

Kenyataan itu berkata, permohonan baharu dan rayuan BPN dibuka bermula 1 hingga 30 April ini dan setakat ini lebih tiga juta permohonan baharu serta rayuan bantuan itu telah diterima.

Tambah kenyataan itu, buat masa ini permohonan BPN belum lagi diputuskan sama ada diluluskan atau sebaliknya dan keputusan akan dimaklumkan kepada pemohon pada Mei ini.

“Permohonan baharu dan rayuan telah diterima adalah tertakluk kepada proses verifikasi bagi memastikan BPN diterima oleh mereka yang benar-benar layak.

“Permohonan tersebut akan diproses dan disemak silang dengan pangkalan data agensi kerajaan lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengesahan warganegara Malaysia disamping semakan pendapatan dengan agensi pendapatan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, permohonan menggunakan dokumen palsu atau yang disenaraihitam akan ditolak dan tidak akan menerima BPN.

Katanya, kementerian itu juga mengingatkan bahawa sekiranya pemohon didapati memberikan maklumat tidak benar atau palsu boleh dikenakan tindakan.

“Mereka boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dikenakan denda atau hukuman penjara selama tempoh yang boleh sehingga tiga tahun serta kerajaan berhak menarik balik bantuan yang diluluskan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here