Covid-19: 10 April penentu PKP dilanjutkan atau tidak

0
168
PKP di seluruh negara memasuki fasa kedua sejak dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai semula sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilanjutkan atau tidak dalam tempoh enam hari lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu semua pihak diminta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan supaya penyebaran virus tersebut dapat diputuskan.

“Tanggungjawab ini bukan patut digalas oleh KKM sahaja tetapi semua pihak harus ambil perhatian dengan duduk di rumah, basuh tangan dan lakukan penjarakan sosial.

“Kemudian kita akan tengok pada data, saya boleh buat jangkaan tetapi ia perlu dibuat secara realiti berpandukan sains dan fakta. Saya jangkakan pada 10 April data ini dapat dikeluarkan sama ada kita perlu sambung PKP atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada mereka yang ditahan di lokap kerana menginkari PKP turut melaksanakan perintah penjarakan sosial, katanya, semua tahanan tersebut turut diarahkan melakukan penjarakan sosial di samping diarahkan menjalani saringan pemeriksaan.

Sementara itu, ditanya sama ada kes jangkitan Covid-19 akan meningkat secara mendadak selepas ini, katanya, ramalan tersebut perlu berpandukan data terkini.

“Sekarang kita pun tidak tahu walaupun ada ramalan peningkatan kes pada pertengahan bulan ini tetapi secara realitinya kita perlu melihat data yang ada.

“Sebagai contoh, Kajian Ekonomi Malaysia meramalkan kita akan ada 400 kes dan ke atas hari ini tetapi hakikatnya hari ini kita hanya mencatatkan 150 kes,” katanya.

Beliau berkata, wabak tersebut dapat diputuskan dengan syarat semua pihak mematuhi arahan kerajaan dengan duduk di rumah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here