
Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
SEOUL – Dua warga emas Korea Selatan yang juga pesakit Covid-19 sembuh daripada penyakit itu selepas dirawat menggunakan plasma individu yang sudah sembuh.
Memetik laporan agensi AFP, saintis juga mendapati potensi kelebihan plasma iaitu cecair darah dari individu yang sembuh, mampu menjana antibodi yang menjadi daya pertahanan tubuh badan.
Sejak virus itu dikesan di China pada Disember lalu, ia sudah membunuh hampir 75,000 orang dan syarikat farmaseutikal berlumba-lumba untuk menghasilkan vaksin serta kaedah rawatan bagi penyakit itu.
Penyelidik dan doktor muda di Severance Hospital, Chou Jun Yong, berkata terapi plasma mungkin boleh menjadi rawatan alternatif kepada pesakit yang berada dalam keadaan kritikal dan tidak memberi maklum balas kepada ubat anti viral.
Bagaimanapun, beliau berkata ujian klinikal besar-besaran perlu dilaksanakan untuk memastikan tahap keberkesanannya.
Salah seorang daripada dua pesakit itu yang berusia 71 tahun, hanya bertambah sihat selepas dirawat dengan plasma daripada seorang pesakit berusia 20-an, bersama dengan rawatan steroid.
Seorang lagi pesakit wanita berusia 67 tahun pula mengidap pneumonia yang teruk dan tidak memberikan maklum balas terhadap ubat malaria, HIV atau rawatan oksigen, tetapi sembuh selepas menerima terapi plasma dan steroid.
Penemuan itu diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Korea.
Sementara itu, seorang pegawai Ibu Pejabat Pusat Kawalan Penyakit Seoul, Kwon Jun-wook, berkata terapi plasma adalah ‘penting’ apabila tiada vaksin atau rawatan lain, malah menggesa pakar memeriksa dua pesakit itu dengan segera.
Kajian berskala kecil mengenai plasma sudah menunjukkan keberkesanan dalam merawat penyakit berjangkit, antaranya termasuk Ebola dan Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS).
Korea Selatan sebelum ini bermula dengan kejutan wabak yang terburuk tetapi kini berjaya mengekang penularan itu melalui program ‘kesan, uji dan rawat’.