Covid-19: 50 peratus kes di Selangor dari Hulu Langat

0
219
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan kes positif Covid-19 di Selangor berlaku di Hulu Langat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daerah itu sekali gus menjadi penyumbang terbesar peningkatan kes di negeri berkenaan.

Menurutnya, antara faktor utama jangkitan berlaku di daerah itu adalah berpunca daripada sekolah tahfiz dan madrasah yang ada antaranya menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Katanya, Selangor masih merekodkan jumlah yang tinggi dan perkampungan Hulu Langat mencatatkan jumlah sebanyak 300 kes positif setakat hari ini.

“Jika di Selangor ada 600 kes dan lebih separuh daripada kes itu datang daripada Hulu Langat.

“Malah hari ini ada pertambahan yang melibatkan 300 kes berbanding semalam sebanyak 287 kes positif,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Kesihatan hari ini.

Dr. Noor Hisham memberitahu, di Kampung Sungai Lui mempunyai 90 kes di mana 25 kes berkaitan dengan jemaah di Sri Petaling manakala 65 kes adalah kontak rapat.

Jelasnya, selain Kampung Lui, pihaknya merekodkan sebanyak 210 kes apabila 25 kes berkaitan dengan jemaah di Sri Petaling dan selebihnya adalah kontak rapat.

“50 peratus kes di Selangor berkaitan dengan jemaah berhimpun di Sri Petaling dan sekarang ini telah merebak dalam kalangan pelajar sekolah tahfiz atau madrasah,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here