COVID-19: 501 kes tipu topeng muka sejak PKP

0
166

KUALA LUMPUR – Polis mengesan 501 kes penipuan penjualan topeng muka membabitkan jumlah kerugian lebih RM3.5 juta sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, jumlah itu adalah 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes penipuan penjualan topeng muka yang dilaporkan sepanjang tahun ini.

“Jumlah kes penipuan membabitkan penjualan topeng muka menunjukkan peningkatan mendadak sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu.

“Sejak 1 Januari sehingga semalam, keseluruhan kita menerima 556 aduan berhubung penipuan topeng muka dengan jumlah kerugian lebih RM4.2 juta.

“Bagaimanapun sejak PKP dilaksanakan, sebanyak 501 kes dilaporkan dengan kerugian RM3.5 juta. Peningkatan mendadak itu berlaku sejak penularan COVID-19 di China dan negara ini menyebabkan stok berkurangan di pasaran tempatan untuk menampung permintaan tinggi,” katanya.

Mohd Zakaria menerusi laporan Berita Harian berkata, hasil siasatan, polis sudah membuat 39 tangkapan dengan 37 daripadanya dibuat sejak pelaksanaan PKP dan 22 daripada mereka sudah didakwa di mahkamah.

“Kebanyakan mangsa berurusan dengan pembeli melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga platform jualan dalam talian serta ada juga melalui aplikasi sembang seperti WhatsApp dan WeChat.

“Selepas mangsa membuat pembayaran, suspek gagal dihubungi serta akses media sosial disekat dan penghantaran tidak dilakukan,” kata beliau.

Katanya, siasatan juga mendapati ada sindiket penipuan memberikan ‘tracking number’ (nombor pengesanan) pesanan untuk mengaburi mangsa sedangkan ia adalah untuk barangan lain.

“Kejadian seumpama ini sudah banyak disebarkan di media utama dan media sosial namun masih ramai yang menjadi mangsa penipuan.

“Kita mohon orang ramai supaya lebih berwaspada. Jika membeli daripada platform jualan atas talian, pastikan ia adalah penjual sahih dan semak komen dalam ruang ‘review’ sama ada mendapat komen negatif atau positif,” katanya.

Selain itu, katanya pembeli juga mesti membuat semakan akaun bank penjual dahulu sebelum membuat pembayaran menerusi portal ‘Semakmule’ JSJK atau status penjual dalam talian di laman web http:/biztrust.ssm.com.my.

Katanya, semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here