Covid-19 : 54 kes baharu, 135 pulih, 2 kematian dilaporkan

0
90

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Jumlah kes positif Covid-19 memperlihatkan penurunan apabila Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan hanya terdapat 54 kes baharu dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,305 kes.

Menurutnya, terdapat 135 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,102 kes atau 58.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,115 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Seramai 49 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat terkini terdapat pertambahan dua dua kes kematian berkaitan Covid-19.

“Jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 88 kes atau 1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-87 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kencing manis. Pesakit itu telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 12 April lalu pukul 3.20 petang.

“Kes kematian ke-88 merupakan lelaki warganegara Myanmar berumur 36 tahun yang mana telah dirawat di Hospital Selayang pada 17 April dan datang pada peringkat yang lewat dengan jangkitan paru-paru Severe Acute Respiratory Infection (SARI). Mangsa disahkan meninggal dunia pada hari sama pada pukul 10.00 pagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here