Covid-19 : 57 kes baharu, 54 pulih, 3 maut

0
73

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Sebanyak 57 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan di seluruh negara hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif
Covid-19 di Malaysia sebanyak 5,482 kes.

Menurutnya sebanyak 54 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 3,349 kes iaitu 61.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,041 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Berkaitan kes baharu yang dicatatkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, 18 kes dari angka tersebut merupakan kes import daripada warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara manakala 39 kes adalah kes penularan tempatan.

“Sehingga kini, seramai 43 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 27 kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya.

Selain itu katanya, menurut laporan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 92 kes iaitu 1.68 peratus daripada jumlah
keseluruhan kes,” katanya.

Kes kematian ke-90 melibatkan warga emas wanita berusia 72 tahun yang juga penghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi manakala kes kematian ke-91 membabitkan warga emas lelaki berusia 69 yang juga penghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Sementara itu kes kematian ke-92 pula melibatkan warga emas lelaki berusia 92 tahun penghidap kencing manis, darah tinggi dan dementia.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here