Covid-19 : 80 lagi pesakit pulih, dibenar discaj

0
88
Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak 80 kes pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj dari wad hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 1,321 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, terdapat 170 kes baharu yang dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,963 kes.

“Sehingga kini, seramai 92 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 50 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang akhbar harian di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Semalam, negara mencatatkan 236 kes yang merupakan bilangan kes tertinggi pesakit yang pulih dan dibenarkan discaj setakat penularan wabak maut itu.

Dr. Noor Hisham berkata, penularan wabak itu sehingga kini merekodkan satu lagi kes kematian.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan. Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 63 kes,” katanya.

Katanya, kes kematian terbaharu dari kes ke 3,794 itu merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun berasal dari Perlis.

“Pesakit itu mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia pada 17 Mac hingga 24 Mac lalu.

“Pesakit tersebut telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajah Kalsom, Johor pada 5 April dan disahkan meninggal dunia pada 6 April pukul 11.00 malam. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here