Covid-19: 90 pesakit pulih, 71 kes baharu dan 2 kematian

0
73

CYBERJAYA- Sebanyak 90 kes positif Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini selain terdapat pertambahan 71 kes baharu dan dua kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad adalah 3,542 kes.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,603 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,966 kes.

Sehingga kini katanya, seramai 42 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 21 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kematian.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 95 kes (1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-94 (kes ke-3871) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau merupakan anggota perubatan Kementerian Kesihatan dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes ke-3662 (yang berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor).

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April dan disahkan meninggal dunia pada 12.36 tengah malam. Ini merupakan kematian ketiga di kalangan anggota kesihatan,” katanya.

Kes kematian ke-95 pula katanya, merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes ke-1575 (yang berkaitan dengan kluster PUI Bali). Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada 22 April pukul 11.48 malam,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here