Covid-19: Agihan bantuan makanan Orang Asli diteruskan

0
99
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Penyaluran bantuan makanan kepada masyarakat Orang Asli bagi fasa pertama dilaksana sejak 2 April lalu hingga esok, membabitkan 49,670 ketua isi rumah di 853 perkampungan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, penyaluran bantuan berupa agihan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli itu membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM5 juta.

Katanya, agihan bantuan untuk fasa kedua pula dijangka mula dilakukan mulai esok dengan penambahan jumlah penerima kepada 55,000 ketua isi rumah membabitkan peruntukan RM6 juta.

“Bantuan fasa kedua ini adalah sambungan daripada agihan fasa pertama dengan penambahan kepada keluarga yang berpindah randah serta tinggal di kampung tambahan.

“Jadi dakwaan segelintir pihak sebelum ini bahawa ada kelompok masyarakat yang tercicir daripada mendapat bantuan kerajaan ketika PKP adalah tidak benar sama sekali.

“Segenap lapisan masyarakat, termasuk Orang Asli diberikan bantuan dan ia kini giat dijalankan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta masyarakat untuk mengetengahkan masalah berhubung pelbagai perkara ketika PKP kepada pemimpin berkaitan di peringkat setempat.

Katanya, sebarang masalah sama ada membabitkan bekalan makanan, pengurusan harian dan isu berkaitan boleh diajukan kepada pegawai daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Jawatankuasa Bencana Daerah.


“Kerajaan ada struktur dari atas hingga ke akar umbi, justeru sebarang masalah yang timbul boleh dikemukakan kepada pemimpin setempat di kampung masing-masing atau peringkat daerah.

“Jika ini dapat dilakukan, kita berupaya menyelesaikan sebarang isu yang timbul atau tidak mendapat perhatian.

“Saya yakin, kepemimpinan masyarakat di kampung dan daerah mampu menyelesaikan masalah, justeru usahlah sekadar merintih di media sosial, sebaliknya ajukan kepada pihak berkaitan,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here