Covid-19: Agong, Raja Permaisuri selesai kuarantin

0
171

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selesai menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari dan disahkan bebas Covid-19, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda berdua dan ahli keluarga berada dalam keadaan sihat walafiat dan menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas doa dan keprihatinan semua terhadap kesejahteraan dan kesihatan baginda sekeluarga.

“Berikutan kes positif tersebut, sejumlah 116 kakitangan Istana Negara turut diarahkan oleh KKM menjalani saringan dan kuarantin diri selama 14 hari yang juga berakhir pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Agong, Raja Permaisuri Agong dan keluarga menjalani kuarantin diri di Istana Negara seperti dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan pengesahan beberapa kakitangan Istana Negara didapati positif Covid-19 dua minggu lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah yang amat prihatin terhadap perkembangan terkini wabak Covid-19, mengulangi titah agar rakyat mematuhi semua nasihat dan perintah yang dikeluarkan KKM dan pihak berkuasa khususnya perintah kuarantin diri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada masa sama, katanya, baginda turut menzahirkan perasaan amat sedih kerana masih ada rakyat Malaysia yang ingkar PKP atas kepentingan diri sendiri.

Beliau berkata, keadaan ini menyebabkan peningkatan kes-kes Covid-19 positif dan pertambahan kawasan-kawasan zon merah.

“Marilah kita bersama memainkan peranan membantu meratakan lengkungan jangkitan Covid-19 ini dengan terus berada di rumah. Jika perlu keluar untuk membeli barang keperluan, pakailah penutup hidung dan mulut serta amalkan jarakan sosial,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka juga menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada KKM, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, khususnya wira dan wirawati di barisan hadapan atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira penat lelah.

Katanya, peratusan tinggi pesakit Covid-19 yang pulih dan peratusan kematian di Malaysia yang rendah membuktikan bahawa kerajaan mempunyai tatacara pengendalian pandemik di antara yang terbaik di dunia.

Sementara itu, beliau berkata, baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa Covid-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan.

“Seri Paduka Baginda Berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama berdoa memohon ihsan Allah SWT semoga Malaysia sentiasa di dalam lindungan dan rahmat-Nya dan pandemik ini diakhiri dengan segera,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here