COVID-19: Awasi ancaman gelombang baharu

0
89

CYBERJAYA – Negara yang hampir bebas daripada kes Covid-19 berdepan kemungkinan dibadai gelombang baharu kerana wabak berkenaan masih wujud di peringkat serantau.

Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Rantau Pasifik Barat, Dr. Takeshi Kasai berkata, perkara itu diakui pemimpin di semua negara ketika sidang perbincangan yang diadakan secara dalam talian setiap minggu.

Sehubungan itu, katanya, setiap negara di rantau berkaitan saling berbincang mengenai pendekatan terbaik untuk menamatkan perintah berkurung atau kawalan pergerakan kerana khuatir keputusan sedemikian berupaya mengundang penularan baharu berskala lebih besar.

“Selagi penularan wabak ini dicatat di negara lain, ia bukan pengakhiran bagi krisis Covid-19, justeru semua pihak tidak harus mengambil pendekatan santai terhadap bahaya virus ini.

“Kita perlu bantu dan sokong negara lain yang berdepan kekangan untuk menangani penularan Covid-19 kerana tanggungjawab memerangi penularan wabak ini wajar dilihat pada peringkat lebih besar seperti serantau serta dunia.

“Dunia belum selamat daripada ancaman Covid-19 jika masih ada negara yang merekodkan pertambahan kes positif,” katanya dalam sidang Akhbar di Manila, Filipina yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit dan Pemangku Pengarah Kecemasan Serantau WHO, Dr Huong Tran serta Pengurus Insiden di Rantau Pasifik Barat WHO, Dr Abdi Mahamud.

Menyentuh pendekatan terbaik untuk menamatkan kawalan pergerakan atau perintah berkurung, Dr. Kasai berkata, keputusan itu harus bersandarkan laporan statistik dan dibuat mengikut pertimbangan faktor kesihatan awam.

Selain itu, katanya, jalan terbaik untuk menamatkan perintah sedemikian adalah secara berperingkat dengan mengimbangi kepentingan penjagaan kesihatan awam dan usaha memulihkan ekonomi domestik.

“Kita faham ekonomi perlu dipulihkan kerana tempias Covid-19 ternyata merencatkan pertumbuhan pelbagai negara di seluruh dunia, tetapi keputusan ini tidak harus dibuat secara terburu-buru.

“Antara faktor yang perlu dikaji dan dipastikan terlebih dahulu ialah kemampuan atau kapasiti perkhidmatan kesihatan awam untuk menampung sebarang kewujudan kluster baharu, selepas kawalan pergerakan dan perintah berkurung ditamatkan.

“Oleh itu, jalan terbaik ialah dengan melaksanakan keputusan penting seperti ini secara berperingkat untuk meneliti kesannya kepada kemungkinan pertambahan kes dan kemampuan sektor perkhidmatan kesihatan awam,” katanya.

Mengutarakan nada sama, Dr. Tran memberikan contoh Singapura yang sebelum ini melakar kejayaan sehingga menyaksikan negara berkenaan hampir memutuskan rantaian Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, Singapura dibadai gelombang kedua menerusi penularan jangkitan berpunca daripada kluster asrama pekerja warga asing, sekali gus melonjak kadar kes positif di negara terbabit.

“Hampir 50 peratus negara di Eropah dan wilayah barat Pasifik ketika ini berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan apabila merekodkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

“Memang betul, banyak negara sebelum ini dilihat berjaya meratakan lengkungan kes Covid-19 seperti Singapura, Jepun dan Filipina, tetapi mereka kembali dilanda gelombang baharu sekarang.

“Pengajaran yang boleh diambil daripada episod penularan seperti ini adalah Covid-19 masih berupaya mengancam keselamatan sesebuah negara, meskipun ia dilihat hampir berjaya memutuskan rantaian wabak ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here