Covid-19: Bayi 6 bulan mangsa termuda di AS

0
121
Bayi berusia enam bulan meninggal dunia kerana komplikasi Covid-19 di AS. Foto hiasan.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

NEW YORK – Gabenor Connecticut, Ned Lamont, semalam mengesahkan seorang bayi berusia enam bulan meninggal dunia disebabkan komplikasi Covid-19, iaitu mangsa termuda menjadi korban wabak itu di Amerika Syarikat (AS).

Memetik laporan agensi AFP, berita itu ditulis dalam laman Twitter miliknya dengan menulis “bayi itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak memberikan sebarang tindak balas minggu lalu dan tidak dapat dipulihkan.”

Menurut Lamont, ujian saringan Covid-19 dilakukan malam kelmarin dan bayi itu disahkan positif wabak berkenaan.

“Ini tentunya berita yang amat menyedihkan. Kami percaya ini kes termuda bagi korban Covid-19,” katanya.

Minggu lalu, pihak berkuasa Illinois berkata, mereka akan menjalankan siasatan bagi kematian kanak-kanak berusia kurang setahun, termasuk kematian pertama di Amerika Syarikat membabitkan seorang bayi berumur sembilan bulan.

Penyebaran pantas Covid-19 di AS yang menyebabkan sekurang-kurangnya 4,476 kematian itu dipercayai akan menjadi lebih berisiko kepada warga tua, walaupun ada peningkatan kes pesakit muda yang dimasukkan di hospital akibat wabak berkenaan.

New York yang juga bersempadan dengan Connecticut antara paling teruk terjejas akibat penularan Covid-19 dengan lebih 2,000 angka kematian dicatatkan setakat ini.

Turut dilaporkan, penduduk di New York, Connecticut dan New Jersey antara jutaan rakyat AS yang sedang melalui perintah duduk di rumah, kecuali bagi pekerjaan yang penting.

Ketiga-tiga wilayah itu merekodkan lebih 100,000 kes Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here