Covid-19: Bazar Ramadan guna konsep jual beli dalam talian

0
97

KUALA LUMPUR — Usaha menjaga jarak sosial bagi membendung penularan wabak Covid-19 dilihat mustahil dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan mengambil kira kesesakan yang berlaku di tapak perniagaan itu.

Akademi Perubatan Malaysia dalam kenyataannya hari ini berkata, risiko jangkitan seperti di laluan jalan kaki dan tempat parkir dikhuatiri akan membawa kepada gelombang wabak lebih teruk.

“Usaha untuk membasmi Covid-19 masih jauh perjalanannya dan kita perlu terus membendungnya agar dapat menikmati banyak lagi Ramadan seterusnya.

“Kecundang dalam usaha ini bukanlah satu pilihan,” katanya yang tidak bersetuju dengan rancangan penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini melihat kepada ancaman Covid-19 sekarang ini.

Kenyataan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang mahu pengurusan bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan mengubah suai konsep bazar itu bagi mengelak kesesakan di tapak perniagaan.

Persatuan itu kemudian mencadangkan agar bazar Ramadan beroperasi secara dalam talian dengan menggalakkan perkhidmatan penghantaran bagi mengurangkan risiko jangkitan dan meminimumkan kesan ekonomi ke atas peniaga kecil.

Sementara itu, persatuan berkenaan menggesa rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, agar menjalankan kuarantin sendiri di rumah masing-masing untuk 14 hari dan pergi mendapatkan pengesahan jika terdapat simptom Covid-19.

“Mereka yang pulang dari luar negara bertanggungjawab ke atas gelombang seterusnya kes Covid-19 di negara yang mengalami pandemik tetapi dapat dikawal dengan baik seperti Singapura, Korea Selatan dan China,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here