Covid-19: Benarkah kita sudah berjaya pada bacaan graf?

0
370
Dr, Malina Othman bercakap dalam temubual Live bersama Astro Awani hari ini.

CYBERJAYA – Walaupun sudah ada tanda-tanda penularan wabak Covid-19 berjaya dikekang di negara ini, graf kes masih berada pada tahap mendatar yang mungkin memerlukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lebih lama.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi / Biostatistik) Universiti Putra Malaysia, Dr. Malina Osman berkata, purata kes harian sebanyak 110 sehingga 154 kes sejak pelaksanaan PKP menunjukkan tiada peningkatan kes secara mendadak berlaku di Malaysia.

“Secara umum saya melihat trend ini lebih kepada mendatar, tidak turun dan tidak naik. Berbanding graf di Itali dan negara-negara di Eropah, trend kita jauh lebih baik.

“Kita jangkakan angka kes harian akan kekal dan diharap dengan peratusan pematuhan yang tinggi sepanjang PKP fasa 2, angka itu akan dapat diturunkan lagi,” katanya dalam siaran Live facebook Astro Awani hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan persoalan adakah lengkungan Covid-19 sedang diratakan di Malaysia.

Dr. Malina berkata, indikator kejayaan menurunkan penularan wabak itu perlu dikira pada kes harian walaupun berlaku peningkatan berterusan pada graf kes kumulatif (terkumpul).

“Graf kita memberikan dua tafsiran iaitu kes baharu dan juga kes kumulatif. Kes kumulatif akan sentiasa bertambah tetapi yang perlu dilihat adalah pada kes-kes baharu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, peningkatan kes baharu juga tidak semestinya dikaitkan dengan penularan yang lebih teruk kerana ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan angka itu meningkat.

“Misalnya pertambahan kes juga dipengaruhi oleh aktiviti pengesanan secara aktif yang dilakukan kerajaan terhadap kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan tertentu.

“Ia berbeza bagi kes-kes yang melibatkan pesakit datang sendiri ke wad selepas mendapati diri mereka sudah sakit,” katanya.

Ditanya kemungkinan PKP dihentikan lebih awal berdasarkan petanda positif kawalan Covid-19, Malina berpendapat kelonggaran itu boleh mencetuskan keadaan tidak terkawal sehingga menyebabkan peningkatan kes secara mendadak.

“Saya rasa PKP perlu dilanjutkan memandangkan kita akan melalui satu lagi tempoh berisiko iaitu bulan puasa yang mana masyarakat kita… terlalu peramah antara satu sama lain, dikhuatiri akan menyebabkan kes naik semula.

“Secara idealnya perlu tunggu sehingga kes diturunkan sampai sifar, sehingga keadaan membenarkan kita untuk kembali hidup secara normal,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jika kelonggaran perlu dilaksanakan juga oleh kerajaan, ia perlu dilakukan secara berperingkat di zon-zon yang telah dikenal pasti termasuk mengambil langkah kawalan pergerakan secara beramai-ramai, waktu kerja yang lebih fleksibel dan peraturan tertentu dilakukan.

“Cuma saya sangat berharap supaya institusi pendidikan terutamanya sekolah dapat dilanjutkan (cuti) sehingga tempoh hari raya,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here