Covid-19: Catat tiga kematian, 217 kes baharu, 60 pulih

0
104
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Tiga lagi kes kematian berkaitan Covid-19 dicatat hari ini yang membawa kepada jumlah kematian di Malaysia adalah sebanyak 53 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-51 merupakan kes ke-2,561 adalah seorang wanita warganegara Malaysia berumur 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 12 Mac lalu dan kemudian ke Institut Jantung Negara.

Menurutnya, wanita tersebut disahkan meninggal dunia pada petang semalam.

Katanya, kes kematian ke-52 adalah kes ke-2,122 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun, telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 18 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada pagi tadi .

“Kes kematian ke-53 merupakan kes ke-2,034 adalah seorang wanita warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

“Wanita tersebut telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 24 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada pagi tadi. Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar hari ini.

Dr. Noor Hisham memaklumkan terdapat 217 kes baharu yang telah dilaporkan dan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,333 kes.

Katanya, daripada 217 kes ini, 58 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling dan selain itu, 44 kes telah dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM yang merupakan salah satu hospital Covid-19, di mana 41 kes adalah kes berkaitan madrasah tahfiz di Selangor.

Menurutnya, sehingga kini, seramai 108 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Selain daripada itu KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat 60 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 827 kes atau 24.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here