Covid-19 catat tiga lagi kematian

0
112
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Wabak Covid-19 di negara ini mencatatkan tiga lagi kematian menjadikan angka keseluruhan kini berjumlah 76 kes bersamaan dengan 1.62 peratus daripada jumlah kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi terdapat 153 kes baharu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 4,683 kes.

Beliau berkata, terdapat 113 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 2,108 kes (45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)

“Setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan keboleh jangkitan Covid-19 adalah 2,499 kes,” katanya dalam sidang akhbar kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, sehingga kini, seramai 66 pesakit positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 37 daripada kes itu memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kes kematian ke 74 merupakan kes 4,531 iaitu seorang lelaki warganegara berumur 54 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Pesakit itu dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan pada 11 April 2020 dan disahkan meninggal dunia hari ini pukul 1.50 pagi,” katanya.

Tambah beliau, kes kematian ke 75 (kes ke 3,469) merupakan lelaki warganegara berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Pesakit berkenaan telah dirawat di Hospital Taiping, Perak pada 1 April lalu dan disahkan meninggal dunia hari ini pukul 5.23 pagi,” katanya.

Tambah beliau, manakala kes ke-76 (kes ke 4,314) merupakan perempuan warganegara berumur 47 tahun dan mempunyai latar belakang darah tinggi.

“Pesakit tersebut telah dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 8 April dan disahkan meninggal dunia hari ini pukul 7.36 pagi. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here