Covid-19: Dr. Noor Hisham kongsi gambar 41 pelajar tahfiz discaj hari ini

0
611

CYBERJAYA – Seramai 41 pesakit positif Covid-19 dalam kalangan pelajar tahfiz Madrasah Ulum, Sri Petaling dekat sini dibenarkan discaj dari wad Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HTCM) hari ini.

Perkara itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi laman sosial milik beliau hari ini.

Menurut beliau, mereka merupakan sebahagian daripada pesakit positif wabak itu daripada kluster tabligh yang sebelum ini dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan dimasukkan ke HCTM pada 2 April lalu.

Beliau berkata, mereka adalah pelajar lelaki berumur dari 14 hingga 29 tahun dan terdedah kepada Covid-19 sama ada ketika menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada awal Mac lalu dan juga daripada persekitran masjid selepas perhimpunan.

“Kesemua mereka tidak mengalami sebarang simptom dan dua ujian swab saringan awal pada pertengahan Mac dan 24 Mac lalu adalah negatif. 

“Mereka telah dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan pada 2 April lalu keputusan ujian swab ketiga yang diambil pada 30 Mac adalah positif Covid-19,” katanya dalam hantaran tersebut. 

Beliau menambah, para pelajar dimasukkan ke HCTM bagi rawatan lanjut dan hanya seorang daripada mereka mengalami simpton batuk pada 5 April lalu dan diberikan rawatan Hydrochloroquine. 

Beliau berkata, kesemua mereka telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, daripada aspek perubatan, saringan untuk diagnosis dan rawatan awal amatlah penting bagi memastikan pesakit positif Covid-19 berpeluang sembuh sepenuhnya.

“Kumpulan pelajar ini merupakan pesakit pada usia muda. Justeru proses penyembuhan dan prognosis mereka adalah lebih baik berbanding pesakit berusia ataupun menghidap penyakit kronik lain seperti hipertensi atau kencing manis.

“Walau bagaimanapun, mendapatkan rawatan di peringkat awal semasa di tahap satu sehingga tiga adalah amat penting. 

“Daripada aspek kawalan Covid-19, proses kuarantin awal dan isolasi di wad bagi kesemua 41 pelajar ini selepas didapati positif merupakan langkah yang amat penting,” jelas beliau. 

Beliau berkata, di dalam kes itu, kesemua 41 mereka tidak mengalami sebarang simptom tetapi mampu untuk menjangkiti dan menyebarkan Covid-19 kepada masyarakat sekeliling tanpa menyedari mereka telah dijangkiti. 

“Justeru, keperluan kepada proses pengesanan, kuarantin, isolasi dan rawatan awal merupakan langkah tepat membantu proses penyembuhan, menyekat penyebaran dan memutuskan rantaian jangkitan Covid -19, mengambil contoh pengurusan kesemua 41 pelajar tahfiz ini,” ujar beliau. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here