Covid-19: Dua kematian, 166 discaj hari ini

0
120

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 65 kes.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 166 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Menurutnya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,487 kes.

“Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, terdapat 156 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,119 kes.

“Ini bermakna, bilangan kes yang discaj hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 76 kes positif Covid-19 sedang dirawat
di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 45 kes daripada jumlah itu memerlukan bantuan pernafasan.

Jelasnya, kes kematian ke-64 iaitu kes ke-2,903 merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 58 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis dan darah tinggi.

Katanya, pesakit itu telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 7 April lalu pukul 3.20 petang.

“Kes kematian ke-65 (kes ke-1,906) merupakan lelaki warganegara Pakistan berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Pesakit itu mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

“Pesakit tersebut telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia hari ini pukul 9.30 pagi tadi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here