Covid-19: Hanya makanan siap dimasak, barangan kering dibenarkan diagihkan NGO

0
134
Malakat Mall menerusi Program Zero Hunger antara NGO yang tampil ke hadapan sepanjang PKP bagi membantu golongan memerlukan

CYBERJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja amal bagi membantu golongan kurang berkemampuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini hanya dibenarkan menyerahkan barangan kering dan sudah dimasak dalam arahan terbaharu dikeluarkan oleh kerajaan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun, arahan terbaharu itu merupakan satu daripada tujuh syarat yang ditetapkan kepada NGO jika mahu bergiat menyalurkan bantuan semasa PKP.

Selain itu, beliau berkata, hanya dua anggota NGO dibenarkan melakukan serahan dan ia wajib disertai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.

“NGO terlibat mestilah berorientasikan kebajikan dan perlu menghubungi bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sehari sebelum aktiviti penyaluran sumbangan.

“Anggota NGO terlibat juga perlu diperiksa suhu badan sementara anggota yang bergejala tidak dibenarkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan supaya aktiviti penyerahan sumbangan terus kepada golongan B40 dan memerlukan dihadkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, Ismail Sabri memint supaya sumbangan tersebut diserahkan kepada JKM untuk diagihkan.

Dalam pada itu, Rina berkata, anggota NGO terlibat juga perlu memakai topeng muka, sarung tangan dan membawa pencuci tangan ketika aktiviti pengagihan sumbangan dilakukan.

Pada masa sama, beliau turut meminta supaya setiap anggota NGO terlibat melakukan penjarakan sosial.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here