Covid-19: Jangan berhimpun dalam tempoh enam bulan hingga setahun

0
466
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Walaupun masih belum ada keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan atau tidak, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati masyarakat supaya tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, amalan diterapkan ketika ini bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 perlu diteruskan dalam kehidupan masyarakat untuk satu jangka masa yang agak panjang.

“Walaupun belum tahu sama ada PKP ada akan tamat atau tidak, tetapi amalan kita sudah kita ubah… bukan norma biasa lagi, sebagai contoh, kita mengamalkan penjarakan selamat termasuk tidak bersalam selain kerap basuh tangan.

“(Selain itu) perhimpunan pula… dalam tempoh enam bulan hingga setahun kita tidak mengalakkan langsung perhimpunan membabitkan orang yang ramai,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ditanya mengenai bazar Ramadan pula, Dr. Noor Hisham menjawab, selain mematuhi garis panduan KKM, idea kreatif dan inovatif perlu diterapkan jika penganjurannya dibenarkan tahun ini.

Katanya, ia bagi mengelakkan perhimpunan orang ramai sekali gus meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

“Mungkin kita perlu ada idea kreatif dan inovasi… Dalam tempoh fasa pertama PKP, kita telah lihat peningkatan 70 peratus penghantaran (produk makanan) ke rumah.

“Mungkin kita boleh buat sesuatu seperti ‘e-bazar Ramadan’, jadi makanan boleh dihantar ke rumah,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here