Covid-19: Jangan berjalan, duduk di rumah

0
120
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati individu tidak sihat dan menjalani kuarantin di rumah agar tidak melakukan aktiviti mengunjungi saudara-mara yang turut ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka tidak sihat itu perlu mematuhi kuarantin dan PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19 secara meluas dalam masyarakat.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap sebahagian individu yang tidak mengendahkan kepentingan arahan menjalani kuarantin di rumah seperti diminta petugas kesihatan.

“Misalnya, bagi kes kematian ke-64, pesakit itu dan beberapa orang lain meneruskan perjalanan ke luar kawasan iaitu ke dua negeri, meskipun PKP berkuat kuasa mulai 18 Mac lalu.

“Didapati kenderaan di jalan raya makin meningkat. Kementerian khuatir sekiranya ketidakpatuhan masyarakat ini akan meningkatkan lagi penularan jangkitan Covid-19.

“Mengambil kira situasi semasa ini, kita ingin menggesa orang ramai supaya kekal patuh kepada PKP. Ini adalah amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Dr. Noor Hisham turut menasihati orang ramai supaya duduk di rumah sambil mengamalkan beberapa amalan penjagaan kesihatan bagi mengekang penularan virus.

Beliau berkata, orang ramai wajar mengekalkan tahap kebersihan optimum pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun.

“Selain itu, jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain harus dikekalkan.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan kejadian Covid-19 melalui segala maklumat diperoleh dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here