Covid-19: Jepun isytihar darurat hari ini

0
263
Anggota tentera membuat rondaan di sebuah hotel di Tokyo. – Foto AFP

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI 

TOKYO – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, semalam mengisytiharkan perintah darurat di beberapa lokasi termasuk Tokyo berikutan peningkatan penularan wabak Covid – 19.

Memetik laporan agensi AFP, Abe yang mengumumkan pelan itu kelmarin, berkata terdapat kenaikan mendadak bagi kes jangkitan baharu terutama di bandar raya Tokyo dan Osaka.

Kerajaan mendapat kelulusan untuk mengisytiharkan darurat daripada pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi melaksanakan pemantauan berhubung situasi kesihatan.

Perintah darurat itu membabitkan tujuh wilayah iaitu Tokyo, Chia, Kanagawa, Saitama, Osaka, Hyogo dan Fukuoka.

Ia sekali gus memberi kuasa kepada gabenor di wilayah yang terbabit untuk meminta penduduk kekal di rumah dan menggesa operasi perniagaan ditutup dalam tempoh berkenaan.

Abe dijangka akan mengumumkan perkara itu lewat petang semalam dan perintah itu berkuat kuasa bermula tengah malam tadi.

Dijangkakan perintah kuarantin ini akan dilaksanakan selama sebulan.

Sementara itu, Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, yang menggesa supaya segera diisytiharkan perintah darurat di wilayah itu berharap penduduk di Tokyo akan memberikan kerjasama bagi mengehadkan pergerakan masing-masing.

β€œIa mungkin menyulitkan pergerakan seharian, tetapi saya minta semua penduduk memberikan kerjasama kerana ia membabitkan soal nyawa,” katanya kepada wartawan.

Dalam perkembangan lain, jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga, berkata operasi pengangkutan awam tidak akan dihentikan, sebaliknya kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko terutama kontak sesama penumpang.

Setakat ini, Jepun mencatatkan sebanyak 4,000 kes positif Covid-19 dengan 80 kematian. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here