Covid-19: Jumlah kes pulih mengatasi kes jangkitan baharu

0
114

CYBERJAYA – Sebanyak 95 kes positif Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini selain terdapat pertambahan sebanyak 40 kes baharu dan satu kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 3,957 kes.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes pula ialah sebanyak 5,820 kes dengan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,764 kes.

“Untuk kes aktif, mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Sehingga kini, seramai 37 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 17 kes memerlukan bantuan pernafasan. Pada hari ini juga terdapat pertambahan satu kes kematian membabitkan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 99 kes,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes kematian ke-99 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 7 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.31 pagi tadi,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here