Covid-19 : Jumlah kes pulih semakin meningkat

0
113

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan diacaj dari wad adalah 49.7 peratus iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurutnya, terdapat 202 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 2,478 kes.

“Jumlah yang pulih itu juga melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan status terkini kes Covid-19 di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, terdapat 170 kes baharu dilaporkan dan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 4,987 kes.

“Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,427 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Seramai 60 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 33 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 82 kes iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-78 merupakan lelaki dewasa tanpa identiti diri dan dipercayai bukan warganegara yang ditemukan mati di Kota Kinabalu, Sabah dan kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kes kematian ke-79 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Pesakit itu telah dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Kes kematian ke-80 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan penyakit buah pinggang serta telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Kes kematian ke-81 merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang yang mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu yang menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Pesakit itu telah dirawat di Hospital Melaka.

“Kes kematian ke-82 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Pesakit tersebut mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here