Covid-19: Kawalan sempadan negara perlu diperketatkan elak kes import

0
167
Sebuah bot yang membawa pendatang asing tanpa izin berjaya dihalau oleh pasukan keselamatan negara baru-baru ini

CYBERJAYA – Pihak keselamatan negara perlu terus mengawal sempadan negara dengan ketat bagi mengelakkan terdapat pendatang asing bolos masuk ke dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdulah berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan risiko penularan kes import Covid-19 masuk ke dalam negara.

“Kalau tiada lagi penularan Covid-19 dalam komuniti, kita perlu lihat pula kawalan sempadan. Walaupun ada kelonggaran diberikan, kawalan sempadan masih perlu diperketat.

“Ini kerana ada kes mereka yang balik dari luar negara membawa jangkitan Covid-19. Jika kita buka sempadan untuk orang lain masuk kebarangkalian Covid-19 meningkat adalah tinggi,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sehingga bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan lagi selepas Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan PKP bagi fasa keempat sehingga 12 Mei ini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, bagi menentukan sama ada PKP akan dilanjutkan atau ditamatkan semua enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu diikuti.

Beliau berkata, daripada enam kriteria itu, terdapat separuh kriteria boleh dilaksanakan sekarang.

“Pertama kita kena lihat penularan Covid-19, jika terkawal kemudian baru kita lihat cara kawal Covid-19 jadi kita kena kurangkan kebolehjangkitan Covid-19 dan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan laksanakan aktiviti pendekatan tertumpu dengan mengambil sampel semua penduduk.

“Sejak kita laksanakan pendekatan ini, terdapat lebih 10 peratus kes jangkitan positif dikesan. Jadi sebaiknya kes penularan ini dikawal dan tiada kes baharu dalam komuniti,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kriteria ketiga iaitu berkenaan peningkatan fasiliti kesihatan, katanya, sistem kesihatan awam negara berupaya mengesan kes awal termasuk membuat ujian isolasi, kuarantin dan mengesan kontak rapat pesakit Covid-19.

Malah, katanya, keupayaan hospital untuk merawat pesakit Covid-19 juga mencukupi dengan penggunaan katil kurang daripada 30 peratus dan pesakit yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga berkurangan.

Selain itu, katanya, kriteria yang perlu diikuti ialah keperluan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya (OKU) serta mengadaptasi normal baharu dalam kehidupan dalam tempoh enam bulan sehingga setahun.

“Kriteria keenam ialah pemerkasaan komuniti untuk mengawal penularan dan pencegahan Covid-19. Kita akan kenal pasti mengikut negeri, daerah dan mukim menerusi pengasingan warna,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here