Covid-19: Malaysia awasi gelombang ketiga libatkan kepulangan rakyat dari luar negara

0
148
Gelombang ketiga Covid-19 dijangka berlaku susulan kepulangan rakyat Malaysia dari luar negara

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan berlakunya gelombang ketiga Covid-19 berikutan kepulangan rakyat Malaysia dari luar negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, ini kerana semua yang baru pulang dari luar negara berisiko untuk dijangkiti wabak tersebut.

“Sekarang paling dibimbangi ialah kes import susulan kepulangan pelajar dan pekerja Malaysia dari luar negara, sebelum ini kita mengambil langkah berwaspada dengan mereka yang baru pulang dari China, Korea Selatan, Iran dan Itali.

“Namun, kini di 182 negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Sepanyol, Switzerland dan lain-lain juga ada kes Covid-19. Apabila mereka pulang, ada kemungkinan mereka turut membawa jangkitan itu,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, selepas semua rakyat Malaysia itu dibawa pulang, mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin ditetapkan.

Beliau berkata, sekiranya mempunyai gejala Covid-19, mereka kemudiannya akan dipindahkan ke hospital.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak tiga hari lalu sebanyak 752 mereka yang pulang dari luar negara telah dikuarantin dan daripada jumlah itu lapan orang daripadanya positif Covid-19 dan sedang dirawat di
hospital.

Sementara itu, ditanya mengenai keputusan untuk tidak mengkuarantin rakyat Malaysia yang tiba dari Singapura, katanya, kedua-dua negara mempunyai perjanjian yang mana pekerja berkenaan perlu menjalani pemeriksaan terlebih dahulu di sana.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here