Covid-19 : Malaysia catat 142 kes baharu, dua kes kematian, keseluruhan kes 2908

0
72

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Sebanyak dua kes kematian dan 142 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari, hari ini di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan,
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 adalah 45 kes manakala jangkitan positif meningkat kepada 2,908 kes.

“Sehingga kini, seramai 102 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 66 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar khas Covid-19 di kementerian itu hari ini.

Selain itu Noor Hisham. memaklumkan, terdapat 108 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 645 kes iaitu 22.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai kes kematian hari ini, Noor Hisham berkata, kes kematian ke-44 merupakan kes ke-193 iaitu perempuan warganegara Malaysia berumur 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-115 dan telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 13 Mac 2020 sebelum disahkan meninggal dunia semalam pukul 4.30 pagi,” katanya.

Menurut Noor Hisham, kes kematian ke-45 pula merupakan kes ke-1053 iaitu lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 ke-486 dan telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 17 Mac 2020 sebelum disahkan meninggal dunia semalam pukul 10.46 malam,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here