Covid-19 : Malaysia catat 179 kes baharu, 4 kematian, 90 pulih

0
78

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 90 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,005 kes atau 27.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga pukul 12 tengah hari ini, terdapat 179 kes baharu yang dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,662 kes. Daripada 179 kes ini, 46 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 99 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 48 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat pertambahan empat kes kematian baharu dicatatkan menjadikan kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 61 kes bersamaan 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-58 (kes ke-2210) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun telah dirawat di Hospital Umum Sarawak dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Pesakit itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid- 19 (kes ke-1031).

“Kes kematian ke-59 (kes ke-3484) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Kes kematian ke-60 (kes ke-3073) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun dan telah dirawat di Hospital Umum Sarawak.

“Kes kematian ke-61 (kes ke-2200) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Pesakit itu telah dirawat di Hospital Keningau, Sabah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here