Covid-19: NGO agih 30 tan sayur di Selangor

0
267

KLANG – Masalah lambakan sayur-sayuran di Cameron Highlands akibat masalah pengedaran dalam pandemik Covid-19 diatasi oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan mengambilnya sendiri dari ladang dan diagih kepada rakyat di negeri ini.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Pusat Dalam Komuniti Bandar Botanic, Datuk Nor Shabudin Monil, pihaknya bakal mengedarkan 30 tan sayur bagi memenuhi keperluan penduduk terutama di kawasan Klang.

“Untuk permulaan kita edarkan lima tan sayur-sayuran kepada orang ramai, rumah kebajikan dan barisan hadapan yang bertugas.

“Kita sedar bahawa jika sayur-sayuran tersebut tidak diagihkan ia akan rosak begitu sahaja. Oleh itu kita ambil inisiatif untuk menghubungi pengusaha sayur untuk mendapatkan bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan sayur-sayuran kepada 500 penerima di Majlis Perbandaran Klang hari ini.

Nor Shabudin berkata, antara sayur yang diedarkan adalah salad besar dan kecil; sawi; timun; terung; labu serta daun bawang.

“Kita mendapat kerjasama daripada NGO, 99 Kesan dan Kelab Kumpulan Desire Fly Explore untuk melicinkan kerja-kerja pengedaran,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya mendapat kebenaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melaksanakan tugas itu.

Katanya lagi, pihaknya mendapat sumbangan kesemua sayur-sayuran secara percuma daripada pihak Sing Seng Trading dan Jun Yik Enterprise yang beroperasi di Cameron Highlands. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here