Covid-19: Peluang daripada Allah

0
193

Susunan NORDEN MOHAMED

Intisari siaran langsung Facebook Coach Fadzil bertajuk Ngopi Bersama ESQ

(Siri 1/3)

Tetamu: Coach Mohd. Fadzil Hashim
Penemubual: Trainer ESQ 165, Pak Andi Muhamad Fajar dan Pengarah ESQ 165 Malaysia, Pak Razib Abu Bakar

Pak Andi:Macam mana Coach melihat fenomena Covid-19 dan potensi-potensi kita sebagai pejuang Islam boleh manfaatkan?

Coach Fadzil: Saya melihat sisi positif dalam apa sahaja yang berlaku kerana yakin dengan firman Allah SWT: “Mereka itu melakukan muslihat dan tipu daya kepada Allah dan Allah membalas muslihat mereka dan Allahlah sebaik-baik pembuat muslihat dan tipu daya. (bagi membalas tipu daya mereka)” ( Ali Imran:54).

Pada saya Covid-19 adalah suatu kesempatan yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden umat Islam bilamana Allah hantar satu makhluk yang kita tidak nampak pada mata kasar, tetapi ia mempunyai beberapa kupayaan yang sebelum ini tidak diberikan.

Contohnya, jika kita lihat statistik di negara kita sendiri, lebih 90 peratus penduduk Malaysia tidak mempunyai simpanan kecemasan melebihi RM1,000. 72 peratus tidak mempunyai aset kewangan yang besar.

Buat pertama kali, berikutan dengan Covid-19, kerajaan mengarahkan bank memberi moratarium enam bulan kepada peminjam. Maknanya peminjam-peminjam yang tiada simpanan kerana terpaksa membayar ansuran kenderaan, rumah dan pinjaman secara bulanan akan mempunyai wang di dalam poket. Dalam keadaan sekarang, mereka ada akses untuk menggunakan wang itu.

Tetapi yang lebih besar lagi adalah kesan yang terjadi kepada ekonomi dunia. Mengikut pakar-pakar ekonomi dunia, kesan Covid-19 ini adalah lebih dahsyat daripada The Great Depression yang berlaku pada tahun 1929. Saya pula melihat ia sebagai satu peluang.

Covid-19 Peluang Dari Allah

Saya lihat tahun 2019 lepas adalah tahun pencetus ekonomi Islam. Tahun 2020 ini adalah tahun kebangkitan ekonomi Islam. Pada tahun ini, Allah bagi kita peluang untuk satukan kekuatan yang kita ada. Jika kita ambil iktibar dari apa yang berlaku, kita perlu ubah strategi dan terus bertindak.

Kita perlu lihat Covid-19 ini sebagai satu peluang. Dalam suasana perniagaan yang baik selama ini yang tiba-tiba terhalang kerana Covid-19, kita sebagai usahawan tidak boleh statik dan bergantung hanya pada satu-satu usaha.

Usahawan Bukan Satu Kerjaya

Usahawan itu sebenarnya bukan suatu kerjaya. Sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab yang kita sendiri minta daripada Allah. Kita menjadi usahawan sebagai asbab untuk beramal serta mendapat rahmat dan cinta-Nya, agar apabila kita berjumpa dengan Allah, kita boleh bawa amalan kita ini sebagai seorang usahawan.

Kita bukannya menjadi usahawan semata-mata dengan aktiviti berjual beli sebagai sebuah pekerjaan, lalu melihat ia sebagai sebuah sumbangan. Sebaliknya kita kenalah berfikir apakah sumbangan kita kepada perjuangan menegakkan kalimah Lailahailallah.

Tanya diri, apakah tanggungjawab kita selama ini? Apakah sekadar memberi sedekah, berdoa, pergi haji menunaikan yang fardu, buat yang sedikit-sedikit ataupun ingin berperanan sebagai tentera Allah?

Inspirasi Dari Filem Sejarah

Saya nak cadangkan agar tengok filem kisah Ertugrul. Ertugrul adalah bapa kepada Uthman yang mengasaskan kerajaan Uthmaniah. Setiap episod membina satu semangat yang luar biasa.

Kerajaan Mongul berkuasa dan kerajaan-kerajaan Islam bergaduh sesama sendiri. Seperti apa yang berlaku sekarang ini, kita terlalu banyak kabilah. Orang, kita kena berjuang untuk membina tribe sendiri. Sepatutnya kita menjadi pejuang agama, bukannya pejuang tribe.

Saya Mengalirkan Airmata Terharu 

Saya sebenarnya menangis dalam satu mesyuarat apabila ditemukan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohammad Mentek. Saya dijemput sebagai wakil Malakat Mall. Sebaik sahaja saya masuk ke bilik mesyuarat, saya ditemukan dengan ketua-ketua TEKUN, SME Corp dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Saya telah diberi ruang membuat penerangan penuh bagaimana kita boleh ambil peluang dalam tempoh Covid-19 dan selepasnya. Bagaimana kita boleh jadi lebih kuat pada pasca Covid-19. Pada pertengahan dan di hujung perjumpaan itu, Datuk KSU mengatakan dia menerima sepenuhnya penerangan saya.

Beliau terus arahkan pasukannya untuk bekerja hingga dapat memberi manfaat kepada 100,000 usahawan yang akan mencipta pula lebih sejuta pekerjaan baharu. Bila dia terus percaya setelah dia nampak apa pelan yang saya lakukan, ini merupakan satu kemenangan awal dalam meletakkan asas kukuh ekonomi Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here