Covid-19: Plasma bekas pesakit dikaji untuk rawat pesakit lain

0
187
Reza kini disahkan bebas daripada Covid-19 dan menjadi penyumbang pertama plasma untuk rawatan Covid-19

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KMM) mengesahkan sedang menjalankan ujian bagi menggunakan plasma diperoleh daripada pesakit positif Covid-19 yang telah sembuh untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini sekurang-kurangnya tiga pesakit telah tampil secara sukarela bagi menyumbang ke arah pembangunan sains dan teknologi itu.

“Sebelum mendermakan darah mereka akan disaring untuk melihat jika ada jangkitan kuman yang lain contohnya sama ada Hepatitis C dan sebagainya.

“Kalau mereka sihat, kita juga akan laksanakan ujian semula, kalau ujian negatif kita akan ambil darahnya dan akan asingkan darah merah dan plasma,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Semalam, media melaporkan bekas pesakit Covid-19, Reza Huzairi Zainuddin, 41, menjadi rakyat Malaysia pertama dipilih untuk mendermakan ‘convalescent plasma’ bertujuan menguji serum bagi rawatan Covid-19.

Naib Presiden Kanan Modal Insan Kumpulan UDA Holdings Berhad berkata, sekiranya berjaya, plasma atau serum itu akan digunakan untuk pesakit Covid-19 terpilih yang lain bagi membantu proses penyembuhan lebih cepat,

Bentuk plasma yang dikongsi Reza menerusi Facebook miliknya semalam

Mengulas lanjut, katanya, plasma tersebut akan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk melihat kepekatan antibodi pesakit tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here