Covid-19: Satu kluster baharu dari Itali

0
346

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti  terdapat satu kluster mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali.

Ketua Pengarahnya, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, kegagalan memaklumkan sejarah kontak rapat atau perjalanan ke luar negara kepada pengamal perubatan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19.

Menurutnya, KKM menyarankan masyarakat memberi maklumat secara jujur sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, sejarah perjalanan ke luar negara atau kehadiran ke perhimpunan yang diumumkan oleh KKM sebagai berkait rapat dengan penularan
jangkitan Covid-19.

“Sebagai contoh, daripada hasil siasatan yang telah dijalankan, terdapat satu kluster yang wujud daripada kes indeks positif Covid-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Itali (kes ke-1,580).

“Setakat ini, daripada kluster tersebut 37 orang telah disahkan positif Covid-19, di mana terdapat lima kes kematian (iaitu kes ke-1,031, kes ke-1,032, kes ke-1,006, kes ke-2,850 dan kes ke-2,210), serta satu kes kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, kluster ini telah melibatkan jangkitan sehingga generasi ketiga.

Jelasnya, sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 180 buah negara di seluruh dunia yang terjejas akibat jangkitan Covid-19.

“Sememangnya terdapat risiko bagi kes-kes luar negara diimport Covid-19 ke dalam negara dan mengakibatkan penularan di dalam negara.

“Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di stesen kuarantin yang telah disediakan.

“Di pintu masuk negara, mereka akan menjalani saringan kesihatan iaitu saringan demam dan gejala Covid-19. Ujian pengesanan Covid-19 akan dijalankan dan mereka akan dipantau selama 14 hari di stesen kuarantin,” katanya. – MBN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here