Covid-19: Singapura catat tambahan 728 kes jangkitan

0
132
Singapura catat tambahan 728 kes jangkitan Covid-19.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

SINGAPURA – Kementerian Kesihatan Singapura semalam melaporkan tambahan 728 kes jangkitan Covid-19 dengan majoritinya daripada kluster asrama pekerja asing yang menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan mencecah 4, 427 di negara itu.

Dalam satu kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura berkata, kes baharu dalam kalangan pemegang Permit Kerja yang tinggal di asrama telah meningkat dengan signifikan, selari usaha berterusan pihaknya untuk membuat saringan secara aktif dan mengasingkan pekerja yang dijangkiti.

Katanya, kes Covid-19 dalam kalangan pemegang Permit Kerja yang tinggal di asrama membabitkan 654, manakala 26 lagi menetap di luar asrama.

Menurut kenyataan itu, bilangan kes baharu membabitkan pemegang Permit Kerja yang tinggal di luar asrama, meningkat daripada purata sembilan kes sehari pada minggu sebelum ini, kepada purata 15 kes sehari, minggu lalu.

“Sebanyak 81 peratus daripada kes baharu terbabit berkait kluster diketahui, manakala bakinya masih menunggu hasil pengesanan kontak.

“Dua rakyat Malaysia ialah antara kes baharu, semalam, membabitkan seorang berkait kluster sebuah asrama di Jalan Kubor, manakala seorang lagi berkait kes 3,306.

“Lima kluster baharu dikenal pasti dengan kebanyakannya membabitkan asrama, iaitu The Leo, SJ, Westlite Mandai, Sungei Kadut Street 4 dan Bangunan Grandwork di Sungei Kadut Street 3,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dalam pada itu, dua kluster berkait Masjid Al-Muttaqin dan Church of Singapore di Bukit Timah kini ditutup susulan tiada lagi kes sepanjang dua tempoh inkubasi.

“Selain itu, 31 lagi kes Covid-19 telah discaj dari hospital atau kemudahan isolasi komuniti, menjadikan keseluruhannya mencecah 683, setakat ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here