Covid-19 : Singapura wajibkan pakai penutup hidung dan mulut

0
159

SINGAPURA – Singapura hari ini melaporkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 melebihi 3,000 sekali gus mewajibkan semua orang di republik itu memakai penutup mulut dan hidung apabila keluar rumah.

Ia diumumkan Pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai Covid-19, Lawrence Wong pada taklimat teknikal secara maya dan sidang akhbar di sini.

“Ia berkuat kuasa serta-merta,” kata Wong yang juga Menteri Pembangunan Negara republik itu.

Bernama melaporkan, Wong menegaskan orang ramai masih dinasihatkan duduk di rumah dan mengelak daripada keluar semasa langkah pemutus litar selama sebulan dilaksanakan untuk mengekang penularan Covid-19.

Wong berkata, pemakaian penutup hidung dan mulut adalah langkah pencegahan penting terutama pada orang yang dijangkiti mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala.

Singapura selesai mengedarkan penutup hidung dan mulut yang boleh diguna semula pada Ahad lalu, iaitu peringkat kedua yang bermula pada 5 April manakala peringkat pertama dijalankan di negara Kota Singa itu dari 1 hingga 9 Februari.

Menurut Pasukan Petugas, pesalah kali pertama akan dikenakan kompaun S$300, pesalah berulang akan dikenakan denda lebih tinggi atau didakwa di mahkamah bagi kes yang lebih berat.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata sejak 7 April lalu, hari pertama pemutus litar dilancarkan, lebih 6,200 amaran dikeluarkan dan lebih 500 denda dikenakan terhadap individu yang melanggar jarakan selamat.

“Pegawai penguat kuasa telah memerhatikan pematuhan yang lebih baik dengan langkah jarakan selamat sepanjang minggu lepas. Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati,” kata Gan, yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas.

“Walaupun kenaikan jumlah kes setiap hari kebanyakannya disebabkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja, tetapi masih terdapat kes yang timbul dalam kalangan masyarakat termasuk di tempat kerja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here